Jangan cepat mengalah.

Jangan cepat menyerah kalah
Jun 7, 2022
ADA sebuah kawasan perumahan di Lembah Kelang yang sedang berlaku perbezaan pandangan. Perbezaan ini berlaku terhadap tindakan yang perlu diambil untuk mendapatkan semula satu rizab surau yang telah dipajak kepada sebuah syarikat untuk tujuan perniagaan.

Menurut satu pihak, penduduk perlu menerima hakikat bahawa mereka telah kehilangan tapak tersebut dan perlu mengerjakan solat berjemaah di masjid berdekatan. Kata mereka perjanjian telah ditandatangani di antara syarikat dan pihak berkuasa yang terlibat justeru mereka tidak akan dapat berbuat apa-apa. Mereka mencadangkan agar ahli kariah menunggu sahaja sehingga tempoh pajakan tersebut tamat dan kemudian membuat permohonan untuk membina sebuah surau.

Sementara pihak kedua pula tidak mahu berdiam diri. Mereka mahu memperjuangkan hak ahli-ahli kariah untuk mendapatkan tapak surau mereka semula. Menurut mereka, lot tanah tersebut telah dizonkan untuk surau di dalam Rancangan Tempatan (RT) dan terdapat keperluan untuk sebuah surau di situ. Justeru ahli kariah tidak boleh menyerah kalah dengan mudah. Mereka juga menegaskan bahawa kes ini melibatkan maruah umat Islam tidak seharusnya dipandang ringan.

Perbezaan pandangan yang berlaku adalah satu perkara biasa. Sentiasa akan terdapat mereka yang berada di dalam ‘zon selesa’ dan tidak mahu mengambil sebarang risiko. Mereka ini akan memilih jalan selamat. Selagi ia tidak menjejaskan ‘periuk nasi’ mereka, mereka tidak akan melakukan apa-apa. Mereka ini percaya rakyat tidak akan dapat berupaya menentang kuasa yang ‘lebih besar’ atau yang ‘lebih tinggi’. Adalah lebih baik jika rakyat menerima sahaja nasib yang menimpa mereka.

Golongan kedua adalah mereka yang percaya kepada kemampuan dan keupayaan rakyat untuk membuat perubahan. Mereka tidak akan menerima begitu sahaja tetapi akan bangkit memperjuangkan perkara-perkara yang mereka yakin adalah benar atau yang merupakan hak mereka. Golongan ini berjuang di atas dasar prinsip mereka dan tidak mudah goyah. Mereka sanggup melalui sebarang kesusahan dan kepayahan sehingga matlamat mereka tercapai.

Kedua-dua golongan mempunyai alasan masing-masing yang tersendiri. Mungkin golongan pertama yang tidak mahu melawan memahami undang-undang dan berpandangan tidak ada gunanya melawan kerana undang-undang tidak akan memihak kepada mereka. Mungkin mereka juga telah melalui pengalaman membuat bantahan sebelum ini tetapi gagal dan tidak mahu melalui pengalaman yang sama. Justeru mereka akan cuba menjauhkan diri dari keadaan yang serupa.

Mungkin juga kehidupan mereka begitu selesa dengan segala-galanya mencukupi dan tidak mahu menyusahkan kehidupan mereka dan keluarga mereka. Mereka bimbang akan hilang kesemua atau sebahagian dari kemewahan dan kesenangan yang dinikmati selama ini jika mereka terlibat dengan sebarang bantahan. Sebarang gerak kerja seperti itu sudah tentu akan mengundang tindak balas dari mereka yang berkepentingan dan mereka bimbang untuk berhadapan dengan sebarang tindakan tersebut.

Selain dari itu, mungkin juga mereka dibebankan dengan masalah-masalah peribadi seperti masalah keluarga, masalah di tempat kerja atau masalah kewangan. Sudah tentu mereka tidak boleh diharapkan untuk memberikan komitmen sepenuhnya. Kita juga tidak boleh menyalahkan mereka atau membentuk persepsi yang buruk terhadap mereka kerana sudah tentu mereka juga tidak mahu berada di dalam keadaan tersebut. 

Golongan kedua atau mungkin ada yang menganggap mereka sebagai golongan ‘keras kepala’ tidak semestinya memahami undang-undang atau tidak memahami sistem pentadbiran. Tetapi mereka yakin kuasa rakyat boleh mengatasi segala-galanya. Kuasa rakyat dapat memberi tekanan untuk membetulkan perkara-perkara yang tidak betul. Pada mereka telah terdapat banyak contohnya di sekeliling kita. Perkara-perkara yang begitu jelas tetapi memaksa pihak berkuasa untuk membuat pusingan-U atau U-turn.

Di antaranya adalah pembatalan Lebuhraya Kinrara-Damansara Expressway (KIDEX) pada bulan Februari 2015 akibat bantahan dari penduduk. Pada mulanya kelihatan hampir mustahil untuk lebuhraya ini tidak dibina tetapi akibat bantahan yang kuat dan bersungguh-sungguh, Kerajaan Negeri Selangor telah membuat keputusan yang bersejarah itu. Sama ada projek lebuh raya ini dihidupkan semula bukan isunya tetapi yang penting kita perlu mengambil iktibar dari kesungguhan rakyat di kawasan-kawasan terlibat. Jika penduduk tersebut mengambil sikap seperti peribahasa Melayu, ‘Seperti durian dan mentimun, menggolek rosak, kena golek binasa’ sudah tentu tidak akan berlaku sebarang bantahan.

Bukan itu sahaja bantahan atau protes yang membuahkan hasil. BERSIH telah membawa perubahan kepada perjalanan pilihan raya di negara kita dengan penggunaan dakwat kekal merupakan di antara pembaharuan-pembaharuan yang dilaksanakan. Gerakan Mansuh ISA (GMI) juga telah membantu menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri dengan undang-undang yang lain. Contoh terkini adalah bantahan terhadap ICERD yang turut berhasil. Dalam hal ini ia bukan sahaja melibatkan institusi dalam negara tetapi juga luar negara. Justeru itu apalah sangat ‘Little Napoleon’ yang berlagak sombong. Suara rakyat suara keramat, jangan diperlekehkan.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan ( REACH )
7 Jun 2022 – HARAKAHDAILY 7/6/2022
SUMBER: ISKANDAR ABDUL SAMAD

Leave a Comment